TENAGA PENGAJAR

NORZIZI ZULKIFLI mendapat pendedahan awal terhadap Mak Yong semasa pengajiannya dalam Diploma Seni Teater dari Akademi Seni Kebangsaan (kini ASWARA) pada 1998. Semasa di tahun tiga (1997) beliau sempat belajar di bawah bimbingan primadona Mak Yong iaitu Seniman Negara Allahyarhamah Khadijah Awang. Pada tahun 1997 beliau menjayakan produksi Mak Yong pertamanya iaitu Mak Yong ‘Anak Raja Gondang’ selama 2 malam persembahannya di Panggung Eksperimen ASWARA. Mak Yong ini di bawah arahan Khadijah Awang sendiri dan Norzizi memegang watak sebagai Anak Raja Gondang. Selepas kecemerlangan ini, Norzizi sekali lagi diberi kepercayaan oleh Khadijah Awang untuk menjadi teraju utama Mak Yong ‘Raja Bongsu Sakti’ pada tahun 1999. Semasa pembelajaran beliau di peringkat ijazah iaitu Sarjana Muda Seni Persembahan dengan kepujian (Seni Layar) di Universiti Teknologi Mara, beliau telah diberi kepercayaan oleh ASWARA untuk mengarah Mak Yong pertama beliau pada 2001. Naskhah ‘Anak Raja Gondang’ menjadi pilihan beliau dengan mementaskannya di Amphitheatre MTC dan beliau memilih untuk persembahan yang berkonsepkan pentas ‘hanamichi’. Susulan dari ini Istana Budaya kemudiannya pada tahun 2003 menawarkan beliau untuk mengarahkan Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ di panggung Lambang Sari dan ini menjadikannya pengarah pertama yang mengarahkan Mak Yong di pentas bertaraf dunia serta menjadi pengarah termuda untuk mengarah di Istana Budaya iaitu pada usia 27 tahun. Selepas menuntut di London, United Kingdom menyempurnakan Sarjana beliau dalam bidang pengarahan dengan mendapat Master of Fine Arts (MFA) – Theatre Directing dari Middlesex University, beliau kemudiannya membuka kelas Mak Yong ini pada tahun 2008 dengan harapan, perkongsian ilmu ini diharapkan memanjangkan lagi hayat Mak Yong di tanah Melayu ini. 2009 menyaksikan beliau sekali lagi berekperimentasi dengan Mak Yong apabila mengarahkan Mak Yong ‘Titis Sakti’ di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) di mana Mak Yong ini berinspirasikan dari teks A Midsummer Night’s Dream karya Shakespeare. Titis Sakti juga mencipta sejarahnya apabila ‘full house’ sepanjang 5 malam persembahannya itu. Kini beliau sedang berguru dengan Puan Fatimah Abdullah yang merupakan pensyarah Mak Yong di ASWARA.



FATIMAH ABDULLAH yang mewarisi bakat Mak Yong dari bapanya, Abdullah Awang atau Abdullah Supar sememangnya mempunyai bakat yang luar biasa dalam dunia Mak Yong. Bapanya merupakan pemain utama persembahan Mak Yong dan turut membantu pengkaji budaya Tan Sri Mubin Sheppard di dalam menyediakan Siri Kajian Cerita Mak Yong. Pada tahun 1969, Fatimah turut terlibat di dalam pengambaran Mak Yong bagi kanak-kanak negeri Kelantan dalam cerita ‘Anak Raja Gondang’ bersama kumpulan Makyung Mak Aji. Mulai usia 10 tahun, beliau mula mengikuti persembahan Mak Yong termasuklah pada tahun 1972, beliau bersama kumpulan Sri Temenggung mengadakan persembahan di Istana Kota Lama dalam cerita ‘Raja Indera Dewa’. Teater tradisional ini telah membawa beliau mengadakan persembahan di Istana Raja Thai, Bangkok, persembahan Diraja di Istana Negara malahan ke luar negara seperti di New York, Manila dan sebagainya. Beliau banyak menjadi penasihat dan pengarah Mak Yong antaranya Raja Adil, Endeng Tejali, Raja Senyanya, Raja Dua Serupa di Istana Budaya dan Panggung Eksperimen ASWARA. Beliau merupakan tenaga pengajar Mak Yong di ASWARA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan